Assalamualaikum w.b.t.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberikan dua nikmat yang paling besar dalam hidup kita dikala ini iaitu nikmat iman dan nikmat islam, Seandainya ditarik kedua-dua nikmat ini, maka tiada maknalah kehidupan hatta 1001 tahun pun di dunia yang fana ini. Sesungguhnya sebagai seorang makhluk Allah yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepadaNya, kita seharusnya sedar bahawa hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun dan tahun yang semakin berganti di sepanjang hidup kita sebenarnya mendekatkan diri kita dengan saat kematian. Semua makluk ciptaanNya hatta malaikat peniup sangkakala iaitu Israfil sendiri akan dimatikan oleh Allah Taala. Jadi di manakah keegoaan kita, kebesaran kita dan kemuliaan keturunan kita yang kita banggakan selama ini. Sekalipun kita mungkin tidak sempat melihat dengan mata kepala sendiri betapa dasyhatnya kehancuran bumi disaat tiupan sangkakala pertama bertiup, kita akan tetap menghadapi kiamat yang wajib keatas kita iaitu saat kematian.
Tidak ditanyakan apakah bangsa kamu, adakah bangsa kamu adalah melayu? Tidak ditanyakan adakah kamu anak seorang alim ulama' hatta anak seorang penyangak sekalipun, tidak juga ditanya berapa besar kereta kamu, berapa ratus ribu rumah kami, berapa orang isteri dan anak kamu. Tetapi yang ditanyakan hanyalah apakah agama kamu, siapakah yang kamu sembah disaat nyawa bertenggek di jasad, siapakah rasul yang kamu harus teladani dan apakah kitab peganganmu sebagai panduan hidup di dunia pinjaman sementara ini. Justeru, keegoaan, kebijaksanaan, kepandaian, kecantikan rupa paras tidak memberi sebarang makna kepada kebahagian penghidupan di alam barzakh kecuali 3 perkara. Pertama, Sedekah yang bermanfaat. Kedua, Amalan ibadah yang dikerjakan. Ketiga, Doa dari anak yang soleh. Jika syarat kedua iaitu amalan ibadah tidak diendahkan, maka 2 lagi syarat iaitu sedekah bermanfaat dan anak yang soleh tidak akan hadir. Masakan seorang yang tidak mengendahkan agama dan amal ibadat akan mengerti apa itu sedekah bermanfaat, masakan seorang yang tidak mengamalkan didikan agama dapat melahirkan dan mendidik anak menjadi anak yang soleh.
Justeru, bermuhasabahlah diri. Renungkan kembali apa yang dikerjakan sepanjang 2010 masehi yang kian berlabuh memasuki pelabuhan buat selamanya. Jika kelihatan suasananya kelam lagi kusam, maka berazamlah dan niatlah di dalam hati untuk menjadikan 2011 lebih bersinar dan bergemerlapan. Tetapi harus dibuktikan dengan tindakan dan rancangan yang akan direncanakan. Tiada faedah seandainya hanya merancang tanpa bertindak kerana itu tindakan bodoh namanya. Sesungguhnya apa yang diharapkan oleh seorang yang mempunyai akal yang waras itu adalah tahun baru ini lebih baik dari tahun lama dan tahun-tahun lama sebelumnya. Semoga kita dapat memperhebatkan amalan ibadah kita dan memperkuatkan iman dan taqwa kita, insyallah, amiinn....
Sedetik detikan berdetik,
Selangkah usia dipetik,
Tetapi kita tidak menyedari,
Indahnya kehidupan jika diperhati,
Namun mengelaburi mata hati,
Usia dikatakan merangkak walaupun berlari,
Menyedapkan hati sendiri,
Mengatakan hidup masih lama lagi,
Seharusnya menghitung hari,
Hari-hari yang masih berbaki,
Apakah aku siap menghadapi,
Hari yang pasti mendatangi,
Hari yang tidak mampu kuberdiri,
Seorang diri,
Dengan amalan yang sedikit ini.
Oh, tidak kumampu ingati,
Betapa besarnya kekhilafanku ini,
Aku ingin mengubah semua ini,
Semoga Ilahi memberkati usaha ini,
Aku hanya ingin menjadi,
HambaNya yang diberkati...
Wakaf Bharu,
31 Disember 2011
Wassalam...
IsLaM ThE WaY oF LiFe...