SaHaBaT

5/03/2010

Teori Evolusi Ibnu Maskawaih














TEORI yang dicetuskan Charles Darwin bahawa manusia sebenarnya berasal daripada beruk melalui proses evolusi adalah hasil rumusan daripada kajian dan pemerhatiannya terhadap pelbagai spesies hidupan dan fosil di beberapa benua.

Teori evolusinya menimbulkan kontroversi dan mendapat tentangan daripada pihak gereja kerana dia menafikan peranan Tuhan dalam menjadikan kehidupan di muka bumi ini.

Namun begitu, teori berkenaan telah menjadikan Darwin terkenal dan dianggap sebagai pelopor teori evolusi yang digunakan sarjana dalam bidang antropologi dan sosiologi dalam menghuraikan sejarah manusia serta perkembangan masyarakat.

Dalam bukunya Origin of Species, Darwin menyatakan bahawa manusia berkembang secara evolusi daripada spesies hidupan yang paling ringkas kepada yang kompleks dan perkembangan itu berlaku secara perlahan-lahan serta mengambil masa yang lama.

Hakikatnya, teori evolusi perkembangan manusia bermula daripada asas pemikiran ilmuwan Islam, ia seperti dijalankan Ibnu Maskawaih mengenai peradaban manusia.

Menurut Ibnu Maskawaih, kecerdikan manusia tidak mengatasi kepintaran yang dimiliki oleh beruk, tetapi manusia menjadi lebih cerdik kerana pengalaman yang mereka peroleh dalam kehidupan bermasyarakat.

Bagi beliau, manusia ialah sebuah dunia yang kecil dan padanya wujud gambaran mengenai segala yang ada di dunia ini.

Setiap manusia mempunyai peranannya tersendiri sama ada sebagai individu atau anggota masyarakat dan pendapat beliau itu menepati ‘Teori Fungsi’ yang dikemukakan ahli sosiologi Perancis, Auguste Comte.

Sekiranya setiap anggota masyarakat melaksanakan peranan dan fungsinya, maka masyarakat itu akan berada dalam keadaan yang stabil, bersatu padu serta membolehkannya berkembang dengan teratur.

Manakala sebarang gangguan terhadap fungsi itu akan mengakibatkan berlakunya konflik dan pergolakan dalam masyarakat, secara tidak langsung akan membawa keruntuhan kepada masyarakat itu.

Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ibnu Maskawaih juga adalah pengasas Teori Fungsi yang digunakan oleh penganalisis sosial yang menjalankan kajian mengenai masyarakat kuno dan moden.

Pandangan beliau mengenai manusia dan perkembangan masyarakat bukan saja menjadi asas pemikiran ilmuwan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Jamaluddin Al Rini, tetapi juga sarjana Barat termasuk Darwin.

Ibnu Maskawaih terdidik dalam bidang perubatan, tetapi minat yang mendalam terhadap ilmu, mendorongnya mempelajari kesusasteraan, falsafah, kimia, bahasa dan ilmu klasik lain.

Beliau menguasai dan mempunyai kepakaran dalam setiap bidang yang dipelajarinya, selain dikenali sebagai ahli sejarah dan ilmuwan akhlak yang handal.

Semua ilmu pengetahuan itu tidak dipelajari sekali gus seperti yang sering dilakukan oleh sarjana Islam lain. Sebaliknya, beliau mempelajarinya secara berperingkat dan akhirnya mendapati bidang falsafah sesuai dengan dirinya sebagai seorang pemikir.

Ibnu Maskawaih memulakan kerjaya sebagai doktor sebelum dilantik menjadi setiausaha kepada beberapa orang menteri seperti Mueiz al Daulah.

Pengalaman itu memberikan beliau peluang yang luas untuk mendampingi masyarakat dan orang ramai.

Selepas kematian Mueiz, beliau dilantik oleh Menteri Ibnu Amid menjadi ketua perpustakaan dan kesempatan itu digunakan untuk menelaah pelbagai buku hasil tulisan ilmuwan Islam dan Yunani.

Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Ketua Pemegang Amanah Khazanah yang bertanggungjawab menjaga Perpustakaan Malik Adhdud Daulah yang memerintah dari 367 hingga 372 hijrah.

Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya, Ibn Muskawaih berjaya membina ketokohannya sebagai seorang ilmuwan mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang.

Banyak teori dihasilkan beliau dan tidak terbatas kepada bidang falsafah semata-mata.

Beliau menulis banyak kitab yang membicarakan pelbagai persoalan. Antaranya Kitab al-Fauz al-Saghir yang menumpukan pembicaraan kepada persoalan berkaitan metafizik iaitu mengenai Allah, kerasulan dan jiwa.

Kebanyakan pandangannya mengenai perkara itu disesuaikan daripada pandangan ahli falsafah Yunani. Kesan pemikiran falsafah Yunani terhadap Ibnu Muskawaih dapat dilihat pada pandangannya mengenai jiwa.

Ketika mengungkap persoalan itu, beliau menyatakan bahawa jiwa adalah roh yang berlainan daripada tubuh dan tidak mungkin dapat dilihat dan disentuh oleh pancaindera.

Baginya, jiwa sesuatu yang dapat menerima dua perkara pada suatu masa yang sama seperti keadaan hitam dan putih pada satu waktu.

Ibnu Maskawaih juga mengemukakan teori akhlak dalam kitabnya Tahzib al-Akhlaq di mana beliau menyebut kemuncak akhlak ialah apabila lahirnya perbuatan baik yang dilakukan secara teratur.

Oleh itu, akhlak yang baik hanya akan lahir daripada jiwa yang bersih dan begitu juga sebaliknya.

Untuk mendapat jiwa yang bersih anak sejak kecil lagi harus didedahkan dengan nilai yang baik. Hal ini kerana nilai buruk hanya akan mengganggu proses tumbesaran dan menyebabkan mereka membesar tanpa menghiraukan tata susila.

Anak perlu dilatih pada peringkat awal tumbesaran supaya bersikap dan bertindak mengikut nilai ini agar sebati dengan diri serta sanubari mereka.

Ibnu Maskawaih turut menulis beberapa kitab lain seperti al'Adwiah al-Mufra-dah mengenai ubat-ubatan, Uns al'Farid (antologi cerpen), Tajarub al'Umarn (catatan mengenai sejarah), al-Tabikh (kaedah memasak), al'Asyribah (minuman), al'Fauz al-Kabir dan Tajrib al'Um.

Berdasarkan banyak kitab yang ditulisnya maka ketokohannya sebagai ahli falsafah dan pengarang tidak dapat dinafikan.

Idea dan pandangannya jelas mendahului zaman menjadikannya sebagai salah seorang ilmuwan serta sarjana Islam yang tiada tolok bandingan pada zamannya.

Sesungguhnya Ibnu Maskawaih akan terus dikenang sebagai seorang ahli falsafah yang kaya dengan teorinya.

PROFIL
Nama: Abu Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih.
Gelaran: Ibnu Maskawaih.
Tahun lahir: 330 Hijrah (941 Masihi) .
Tempat lahir: Kota Rhages.
Meninggal dunia: 421 Hijrah (1032 Masihi).
Sumbangan: Pengasas teori evolusi.

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

2 ulasan:

GaDiS OGi' JoRo' berkata...

salam..thnx sudi sggah blog sye..
ok sye da folo..then,folo sye plak k..nice blog too..=)

~.~ berkata...

waaaaaa...join ke blog sy gak ek...hahaha!!!