SaHaBaT

6/13/2010

ReJaB : KeDaTaNGaNMu KuNaNTi

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi kerna kita selamat menjalani tahun 2010 Masehi dan 1431 Hijrah yang masih berbaki beberapa bulan lagi untuk kita teruskan ibadah kita kepadaNya. Diharapkan semoga apa yang kita lakukan setiap hari sentiasa mendapat keredhaanNya, Amiin...

Esok iaitu 14 Jun 2010 kita akan menyambut kedatangan bulan Rejab 1431 Hijrah. Semoga kita sama2-sama bersedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang akan kunjung tiba tidak lama lagi. Namun dari mana asal-usul tentang kelebihan berpuasa pada bulan rejab yang begitu tinggi berbanding bulan-bulan islam yang lain?

Bulan Rejab adalah salah satu bulan daripada 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk dan pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib. Ada juga orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadat-ibadat sunat khususnya ibadat puasa.

Motivasi untuk meningkatkan ibadah dalam bulan ini kebanyakannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang mengandungi fadilat-fadilat beribadat dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yang mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam, ia begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga pada zaman era ICT dan mailing list yang dihantar mengandungi 'cut & paste' risalah-risalah dan hadis-hadis berkenaan fadilat Rejab. Sehinggakan fadhilat bulan ini digambarkan di dalam puisi ini :

Rejab bulan menabur benih
Sya'ban bulan menyiram tanaman
Ramadhan bulan menuai

Rejab menyucikan badannya
Sya'ban menyucikan hati
Ramadhan menyucikan rohnya

Rejab bulan marghfirah
Sya'ban bulan syafaat
Ramadhan bulan menggandakan kebajikan

Rejab bulan taubat
Sya'ban bulan muhibbah
Ramadhan dilimpahi pahala amalan
Seperti hujan mencurah banyaknya

Rejab digandakan 70 pahala
Sya'ban diganda 700 pahala
Ramadhan diganda 1000 pahala

Mungkin timbul beberapa persoalan yang tersimpan di dalam lubuk hati kita: mengapa bulan Rejab sahaja yang dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir bahawa mungkin berita-berita ini ditokok tambah untuk menyedap rasa oleh manusia biasa yang bercakap atas nama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam? Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, puasa-puasa khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan ibadat? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan daripada ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat yang terdapat di dalam bulan Rejab, dan apakah sebenarnya fadilat yang terkandung di dalam Rejab.

Bulan Rejab merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Haram

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Dalilnya terdapat dalam firman Allah Taala:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. [al-Taubah 9:36]

Menurut Tafsir al-Jalalain, yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: “Empat bulan Haram ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.”

Allah Taala telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji (bulan Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 haribulan Muharam).

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)
2. Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)
3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.


Shaikh Yusuf al-Qaradhawi

Ujar Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:

Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:

Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram. Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.

Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung :

Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadhilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran. Semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.

Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.

Shaikh al-Sayid Saabiq

Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut :

Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram. Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.

Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi

Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?

Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib RA, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”

Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.

Shaikh Abdul Aziz bin Baz

Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:

Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.


Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:

Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah baginda.

Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).

Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat).

Hadis-hadis fadhilat Rejab ini memang disahkan dha'ef dan palsu tapi tidak salah jika nak berpuasa dalam mana-mana bulan termasuk Rejab, misalnya puasa Isnin-Khamis, puasa bulan putih atau Puasa Daud. Adapun keutamaan dan kelebihan puasa bulan Rejab itu tiada asalnya. Barisan ulama' yg berpendapat demikian (antaranya):

1. alhafidz azZahabi
2. alHafidz Ibn Hajar
3. alhafidz Ibn Qayyim
4. Syaikhul Islam Ibn Taymiyah
5. Imam syaraf anNawawi
6. Ibn Jawzi
7. asSyaqiri, Sunan wa mubtadi'at

Kesimpulan

1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).

3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.

4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.

5. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus.(Hadis Nabi saw)

6. Tidak ada fadilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadilat umum kepada ke empat-empat bulan haram.(Al-Saqr, Al-Qardhawi)

7. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yg lain disunatkan melakukan Puasa sunat dan banyakkan bertaubat. ( Imam Al-Sya'rawi)

8. Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:
  • hari yg ke 9,10,11 di dalam bulan Muhaaram (Syeikh Abdul Aziz bin Bazz)
  • berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (HHanafiah - Al-Zuhaily)
  • Berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi)
  • berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharaam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).
9. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan sebagai bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)

10. Tidak boleh HANYA berpuasa dibulan Rejab sahaja, dimana 3 bulan-bulan yg Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (MazhabHanbali- Al-Jaziry)

11. Tidak ada dalil yg mengatakan bahawa menziarah kubur didalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.

10. AWASIlah dari terlibat menyebarkan HADIS-HADIS PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yg MENDUSTAKAN Rasulullah saw. (Na'uzubillahhu min zalik).

Maka sama-samalah kita menyebarkan apa yang haq dan mendedahkan apa yang batil
Sabda nabi: "sampaikan dariku walaupun satu ayat"

Syukran, wslm

Rujukan :
1 - http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp
2 - http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249
3 - http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308
4 - Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: