Pada masa kelemahan dinasti Al-'Abbassiyah, banyak wilayah dalam kekuasaan khlalifah mengimpikan untuk merdeka dari sistem khalifah dan mewujudkan negara nasional sendiri dan orang kristian telah banyak menyerang negara islam yang lemah kekuatan ketenteraannya dan negara islam yang hidup bersendirian.
Seperti yg.diriwayatkan oleh sejarawan, pada tahun 557 H (1164 M) orang-orang Kristian bersepakat untuk memindahkan jasad Nabi saw dari kuburnya. Mereka mengirim 2 orang dari kalangan mereka masuk ke Madinah dengan memakai pakaian islam orang Morocco dan kedua-dua mereka mendakwakan diri sebagai orang Andalusia. Kedua-duanya menginap di tempat yang bersebelahan dengan makam nabi SAW dari arah kiblat (selatan) di luar Masjid Nabawi, dekat dengan rumah keluarga Umar yang dikenali dengan nama Diyar Al-'Asyrah. Al-Asnawi mengatakan bahawa kedua-dua orang itu menginap di serambi dekat makam nabi saw.
Kedua-dua orang itu mempamerkan diri mereka sebagai orang yang soleh, bertaqwa, menjalinkan siratulrahim, melaksanakan kebajikan, menunaikan solat dan menziarahi perkuburan Al-Baqi' dan makam Nabi saw. Begitulah penampilan mereka secara lahiriah, tetapi secara bersembunyi sebenarnya mereka sedang menggali sebuah terowong yang akan berakhir di di makam nabi saw. Mereka mengangkut tanah yang digali sedikit demi sedikit, kadang-kadang di buang di sebuah telaga yang ada di tepi tempat mereka menginap dan adakalanya diangkut tanah itu di dalam beg kulit untuk mengelabui mata masyarakat seolah-olah mereka menziarahi perkuburan Al-baqi', padahal tujuan mereka adalah untuk membuang tanah di sana.
Mereka telah berjaya melakukan pekerjaan itu untuk suatu tempoh yang agak lama, hingga mereka kerja penggalian mereka sudah hampir mencapai sasaran dan sudah sampai dekat dengan makam Nabi saw. Ketika itu kedua penjahat ini mulai berfikir bagaimana caranya hendak mengangkut jasad Rasul SAW dan mengganggap tugas mereka hampir berjaya. Tetapi sebenarnya ALLAH SWT selalu mengawasi gerak-geri mereka.
Dengan izin Allah Taala, Sultan Nuruddin Mahmud Al-Zanki khalifah empayar islam sewaktu itu bermimpi melihat Nabi SAW sedang menunjuk kedua lelaki berambut perang itu dan menyatakan; "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini". Maka terbangunlah Sultan Mahmud dalam keadaan gelisah, beliau lalu menunaikan solat dan tidur kembali. Tapi beliau melihat situasi yang sama sebanyak 3 kali terturut-turut. Ketika beliau terbangun untuk kali ketiganya, beliau memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang menteri yang berwawasan luas, alim dan suka merendah diri. Menteri itu mengatakan kepada Sultan: "Ini bermakna akan ada suatu kejadian di Madinah Al-Munawarah, pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang engkau lihat dalam mimpimu pada sesiapapun!".
Di malam itu Sultan Mahmud menghabiskan waktu malam yang tersisa itu untuk persiapan, dan pagi esoknya beliau berangkat bersama 20 orang lelaki dan menterinya, Jamaluddin, serta membawa perbekalan dan harta yang banyak. (Majduddin Al-Mathari mengatakan Sultan membawa 1000 ekor haiwan tunggangan sebagai kenderaan dan diikuti oleh kuda-kuda. Beliau menempuh jarak dari negeri Syam (Syria sekarang) ke Madinah selama 16 hari. Ketika di Madinah beliau melakukan solat di Raudhah, lalu menziarahi kubur Rasulullah saw, kemudian duduk termenung tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika itu menteri Jamaluddin bertanya kepada Sultan Mahmud: "Apakah engkau kenal kedua orang itu jika kau melihatnya?. "Beliau menjawab : "Ya." Maka berkatalah menteri itu kepada seluruh penduduk Madinah ketika mereka berkumpul di Masjid Nabawi : "Sultan Mahmud membawa harta untuk disedekahkan, tulislah oleh kalian nama-nama orang yang memerlukan bantuan dan sedekah dari kalangan kamu dan bawalah orang-orang itu ke sini."
Tiap-tiap orang yang datang mengadap Sultan memperolehi habuannya dan pada waktu itu sebenarnya Sultan Mahmud meneliti orang-orang yang datang, tetapi beliau tidak bertemu dengan orang yang dilihat dalam mimpinya.
Maka berkatalah Sultan Mahmud: "Apakah ada di antara kamu orang yang belum mendapat habuannya?." Mereka menjawab : "Tidak ada kecuali 2 orang Morrocco, keduanya tidak mengambil sedikitpun, kedua- duanya adalah orang soleh." Lalu Sultan Mahmud berkata: "Serahkan urusan mereka kepadaku dan bawalah mereka berjumpa aku."
Tiba-tiba ternyatalah mereka berdua adalah orang ditunjuk oleh Rasulullah saw dalam mimpi Sultan. Maka berkatalah Sultan: "Dari mana asal kamu berdua?". Mereka menjawab: "Kami sesungguhnya dari Morocco, kami datang menunaikan ibadah Haji dan tahun ini kami pilih untuk berada dekat dengan makam Rasullullah." Ketika ditanya dengan lebih lanjut, mereka tetap mempertahankan jawapan mereka.
Lalu Sultan meninggalkan mereka berdua dijaga oleh para pengawal baginda, dan beliau pergi ke tempat penginapan mereka di serambi, disertai oleh beberapa penduduk Madinah. Ditempat itu mereka menemui harta yang banyak, dua mushhaf al-Qur'an, buku-buku atas rak dan tidak menemui sesuatu yang pelik atau berlainan. Sultan Mahmud mengelilingi tempat itu dan pada ketika inilah ALLAH memberi ilham kepada Sultan sehingga beliau mengangkat sebuah tikar yang menutup tempat itu. Maka dijumpailah sebilah papan dibawah tikar itu, lalu diangkat papan itu. Didapati terdapat sebuah terowong yang digali menuju ke makam Nabi SAW, menembusi tapak Masjid Nabawi.
Tercenganglah penduduk Madinah, kerana mereka semua menyangkakan kedua orang itu orang yang soleh dan bertaqwa. Kemudian Sultan menyoal keras kedua orang itu sehingga mereka akhirnya mengaku yang mereka sebenarnya beragama Kristian. Kedua-duanya telah diutuskan oleh raja-raja Kristian dalam pakaian jama'ah Haji Morocco dan membiayai mereka dengan dana yang amat besar serta memerintah mereka menggunakan muslihat supaya dapat memindahkan jasad Nabi saw dan dibawa balik ke negeri mereka.
Ketika perbuatan mereka telah terbongkar dan mereka mengakui kejahatan mereka, Sultan Mahmud memerintah dipenggal leher mereka dekat pintu timur makan Nabi saw. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud memerintah digali sebuah parit mengelilingi makam Nabi saw dan dituangkan timah cair kedalam parit itu hingga penuh. Kemudian barulah Sultan pulang ke Syam.
(selain dari itu ada beberapa lagi percubaan untuk memindahkan jasad Rasulullah saw untuk dibawa ke Mesir.)
IsLaM ThE WaY oF LiFe...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan