SaHaBaT

4/07/2009

Kisah Penceraian - Panduan Untuk Bakal Isteri

Saya anak ketiga dari empat orang adik-beradik. Mak dan ayah saya, nak dikatakan sudah bercerai, tapi ayah tidak pun pernah melafazkan talak. Tapi kami semua ditinggalkan oleh ayah ketika masih hendak membesar. Dia tinggal di utara semenanjung Malaysia bersama isteri mudanya yang telah dinikahi selama lebih 10 tahun. Bersama isteri muda yang kami panggil makcik saja, ayah mendapat dua orang anak.

Ayah sebenarnya seorang yang sangat sayangkan anak-anak. Dalam hal mendidik anak-anak, antara dia dan emak memang tak bersefahaman. Ayah seorang yang ingin melihat anaknya menjadi orang yang berjaya dalam hidup. Emak pula tidak ambil kisah perihal anak lelakinya. Yang ditatang macam minyak yang penuh, bebas berbuat apa sahaja. Perkara inilah yang selalu menjadi salah faham, apa yang ayah tidakkan emak akan mengiakan dan begitulah sebaliknya. Sampai satu hari, ayah pergi meninggalkan kami. Masa itu kami dah tahu yang ayah dah ada hubungan dengan kakitangannya, seorang andartu. Pergaduhan sentiasa berlaku antara ayah dan emak. Emak tidak duduk diam, cari bomoh 1 Malaysia, tapi tak pernah berjaya.

Saya dan kakak sulung saya telah berkahwin. Tapi ayah mewalikan dan memberi belanja kenduri waktu saya dan kakak berkahwin. Maksudnya dia tidak melepaskan tanggungjawabnya kepada kami. Setelah berkahwin, saya ikut suami saya yang kebetulan bekerja di utara tanah air. Semenjak dari itu, saya selalu berkunjung ke rumah ayah sebab saya tak ada kawan. Jangan salah faham, bukan niat saya hendak menyebelahi mana-mana pihak. Kalau dibandingkan makcik jauh lebih cantik dari emak. Dia selalu senyum, bergaya dan tak pernah selekeh. Walau lepas tiap kali solat, dia akan kenakan semula solekan yang hilang. Dia sangat sayang pada ayah, ayah dilayan macam raja.

Selepas berkahwin dan nampak perbezaan ketara, baru saya faham perasaan ayah. Orang lelaki dah berumur suka dibelai dan diberi layanan secukupnya. Seingat saya, mak akan melenting kalau ayah suruh dia solat. Makcik pula sebelum waktu solat dah ada di atas sejadah. Yang kami lihat tuduhan emak itu yang makcik membodohkan ayah dengan bomoh yang handal tidak berasas. Makcik menjinakkan ayah dengan doa dia. Pengajaran kisah keluarga saya ini, kalau nak salahkan orang di atas kegagalan kita, buat penilaian diri sendiri. Sebenarnya, kalau saja emak tak kuat egonya dan belajar dari kesilapannya, rasanya ayah masih bersama emak di saat ini.
- Maya, Perlis

Petikan dari :
Luahan Rasa Bersama Putri
Mingguan Malaysia
5 April 2009 / Ahad

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: