
Para sarjana Islam merekodkan sejarah puasa bermula sejak Nabi Adam. Beliau berpuasa bagi membayar kafarah dosa kerana memakan buah terlarang di dalam syurga. Akibat terpengaruh dengan tipu daya syaitan, beliau dihalau keluar dari syurga dengan hikmah yang diatur oleh Allah. Allah menetapkan Adam dan keturunannya beribadah di bumi dan mentadbir bumi dengan agama Allah.
Ibadat puasa ini terus ditunaikan pada zaman nabi-nabi dengan tujuan menguatkan iman, roh dan jasad dalam menghadapi cabaran nafsu yang menggoda. Selain itu, puasa juga adalah cara mendekatkan diri kepada Tuhan serta menghapuskan dosa yang pernah dilakukan.

Dalam kitab Taurat, puasa diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi pada hari ke-10 bulan ke tujuh dalam kalendar mereka. Ia bertepatan dengan bulan Syaaban bagi orang Islam lalu ia dinamakan hari Asyura (sepuluh). Mereka berpuasa siang dan malam. Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum Ledil Fishi iaitu hari memperingati kebangkitan al-Masih dari kubur.
Menurut Imam al-Qurtubi, pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa, Allah juga mewajibkan mereka dan umat mereka supaya berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian mereka mengubah puasa Ramadan itu dengan menambah 10 hari sebagai nazar pendeta yang sembuh daripada sakit. Oleh itu, puasa orang Nasrani menjadi 40 hari.

Imam Mujahid berkata Allah mewajibkan puasa ke atas setiap generasi manusia. Rashid Ridha menguatkan pendapat ini dengan berkata, "Puasa hari ini pernah dilakukan oleh masyarakat Arab sebelum Islam."
Aisyah melaporkan orang Quraish Mekah berpuasa pada hari Asyura. Puasa hari Asyura berlaku pada 10 Muharram setiap tahun hijrah. Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi juga berpuasa pada hari Asyura. Oleh itu, beliau dan para sahabat berpuasa dengan menambah satu hari sebelum hari Asyura bagi membezakan puasa orang Yahudi dengan orang Islam.

"Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari Asyura, berpuasalah den sesiapa yang hendak berbuka berbukalah."
Nabi Muhammad berpuasa Ramadan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan 29 hari dan sekali sahaja puasa penuh 30 hari. Mengikut laporan yang lain sebanyak dua kali puasa penuh 30 hari. Allah maha bijaksana menetapkan puasa wajib pada bulan Ramadan serta menentukan kitab-kitabnya turun pada bulan yang sama.
Puasa pada bulan Ramadan adalah suruhan Allah supaya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Larangan-larangan itu pula adalah asas keperluan hidup manusia walaupun pada asalnya ia dihalalkan pada masa yang lain. Antaranya adalah makan, minum, hubungan seks antara suami dengan isteri dan lain-lain.
Hubungan suami isteri bukan sekadar memuaskan nafsu bahkan masyarakat perlu melahirkan zuriat dan penyambung keturunan. Walaupun semua ini halal pada asalnya, apabila memasuki bulan Ramadan, Allah melarang melakukannya pada tempoh yang ditetapkan.
Sumber : http://pts.com.my/index.php/artikel/baca/
IsLaM ThE WaY oF LiFe...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan