SaHaBaT

1/22/2012

AMaLaN RaSuLLuLLaH KeTiKa RiBuT

‘Aishah r.a meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi SAW. Wajah Baginda SAW akan menjadi pucat. Baginda SAW akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini,

“Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada di dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya.”

Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi SAW. Saya bertanya, “Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah.”

Baginda SAW bersabda, “Wahai ‘Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum ‘Ad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, “Awan itu akan membawa hujan untuk kami” Sedangkan dalam angin itu ada azab.”

Firman Allah SWT:
“Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, ‘Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.’ (Mendengarkan kata-kata demikian Nabi Hud a.s. berkata) “Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.” (setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi punah ranah tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.” (al-Ahqaf : 24 & 25)

Inilah sifat takut kepada Allah SWT yang ada pada diri Rasulullah SAW. Walaupun daripada sabda Baginda SAW sendiri menunjukkan bahawa Baginda SAW ialah ‘Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin’ (yang bermaksud penghulu semua orang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci Al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad SAW ada bersama mereka. Sungguhpun Allah SWT telah berjanji sedemikian namun apabila Baginda SAW melihat awan hitam dan ribut, Baginda SAW masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan mendalam terhadap Allah SWT.

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: