SaHaBaT

3/07/2010

USiA AnTaRa MaSa

Sambutan hari kelahiran atau "Birthday" ialah untuk menyatakan kesyukuran dan kegembiraan kerana dilanjutkan usia ataupun dipanjangkan umur. Allah s.w.t. menjadikan manusia sebagai semulia-mulia makhluk dan dikurniakanNya dengan berbagai-bagai nikmat setiap saat. Di antara nikmat kurnia Allah itu ialah nikmat umur iaitu salah satu nikmat Allah yang paling tinggi, paling mahal nilai harganya.

Sebagai seorang Islam, kita adalah digalakkan mengambil tahu dan merenungkan perkara umur ini kerana ia ada hubungan dengan kebahagiaan dan masa depan kehidupan kita. Di akhirat nanti, setiap kita akan dipertanggungjawabk an tentang umur kita di hadapan Allah s.w.t., sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya" . (HR Tirmizi)

Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk kita menggunakan umur kita itu dengan berhati-hati dan dengan amalan-amalan yang baik khasnya untuk mencapai Husnul Khatimah iaitu penghabisan umur yang baik. Dan mereka yang tidak menggunakan usianya dengan sebaik-baiknya, maka mereka berada di dalam kerugian di dunia dan di akhirat. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al 'Asr: Tafsirnya: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Allah s.w.t. telah menerangkan bahawa umur manusia di dunia ini adalah berpindah keadaannya dari satu ke satu keadaan dan dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain, sebagaimana firmanNya dalam Surah al Haj, ayat 5: Tafsirnya: "Dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai peringkat umur dewasa; dan dalam pada itu ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu".

Ulama Islam Imam Ibnu al Jauzi telah membahagikan umur manusia ini menjadi lima masa iaitu:

Pertama : Masa Kanak-kanak - sejak dilahirkan hingga mencapai umur lima belas tahun.
Kedua : Masa Muda - dari umur lima belas tahun hingga umur tiga puluh lima tahun.
Ketiga : Masa Dewasa - dari umur tiga puluh lima tahun hingga umur lima puluh tahun.
Keempat : Masa Tua - dari umur lima puluh tahun hingga umur tujuh puluh tahun.
Kelima : Masa Usia Lanjut - dari umur tujuh puluh tahun hingga akhir umur yang dikurniakan oleh Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Hakim dari Jabir r.a.: Maksudnya: "Sebaik-baik kamu orang yang panjang umurnya dan baik amalnya kepada Allah".

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Ahmad: Maksudnya: "Jangan seseorang kamu itu berangan-angan mati, adapun jika dia orang baik, maka barangkali ia bertambah-tambah berbuat baik kepada Allah, dan jika dia orang yang berbuat salah, maka barangkali ia bertaubat dan kembali kepada Allah".

Tetapi Rasulullah s.a.w. mohon berlindung dari dikembalikan pada umur yang membawa nyanyuk dan berubah akal fikiran dan tiada tentu fikiran. Maka sehubungan dengan itu kita amat bersyukur kehadhrat Allah s.w.t. kerana kita telah dikurniakan umur panjang yang disertai dengan amal baik kepada Allah. Kita berkeadaan sihat, taat beribadah dan mentaati Allah.

Adakalanya Allah s.w.t. memberikan berkatNya pada umur yang pendek bagi sebahagian hambaNya yang terpilih, sehingga amalannya lebih banyak kebaikannya dan lebih terasa manfaatnya daripada orang-orang yang dipanjangkan umurnya. Seperti umur Imam Syafie, umur Imam Ghazali dan umur Imam Nawawi dan lain-lain lagi ulama-ulama besar yang tiada dipanjangkan umur mereka tetapi mereka dapat menyebarkan kebajikan yang banyak yang dapat dimanfaatkan oleh sekalian manusia. Itulah kelebihan dari Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada siapa yang dikehendakinya.

Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa mengingati mati, bukannya memanjangkan harapan (menunda-nunda taubat kerana merasa umur masih panjang dan ia terus saja terbuai dalam angan-angan mencapai kemewahan dunia) yang merupakan perkara yang dilarang. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al Munafiqun ayat 9 -11, Tafsirnya: "Wahai orang-orang yang beriman, Janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya) . Dan ingatlah, sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi".

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (Kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh".

Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Marilah kita renungkan pesanan junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. iaitu sabda Baginda dalam hadis: Maksudnya: "Rebutah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua, dan kaya kamu sebelum miskin". (HR Hakim dan Baihaqi)

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: