SaHaBaT

6/08/2009

Kelahiran Rasullullah

Muhammad Rasulullah SAW dilahirkan di rumah Abu Thalib di dalam perkampungan Bani Hasyim di Makkah pada pagi-pagi hari Isnin dalam bulan Rabi'ul Awwal, tahun yang pertama dari tahun gajah yang masyhur, iaitu 40 tahun setelah Kisra Anusyirwan duduk di atas singgahsana Kerajaan Parsi, bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi, menurut perhitungan Mahmud Pasha, ahli falak Mesir yang masyhur itu.


Ibnu Saad meriwayatkan, bahawa ibu Rasulullah SAW berkata, "Setelah bayiku keluar, aku melihat cahaya yang keluar dari kemaluanku, menyinari istana-istana di Syam." Ahmad juga meriwayatkan dari al-Arbadh bin Sariyah, yang isinya serupa dengan perkataan tersebut.


Diriwayatkan bahawa ada beberapa bukti pendukung kerasulan yang berlaku bertepatan dengan saat kelahiran Rasulullah SAW, iaitu runtuhnya sepuluh balkon istana Kisra, dan padamnya api yang biasa disembah orang-orang Majusi serta runtuhnya beberapa gereja di sekitar Buhairah. Yang demikian ini diriwayatkan al-Baihaqi, sekalipun tidak diakui Muhammad al-Ghazali.


Setelah Rasulullah SAW dilahirkan, ibunya menyuruh orang suruhan ke rumah datuknya, Abdul Muthalib menyampaikan khabar sukacita itu. Maka Abdul Muthalib datang dengan perasaan suka cita, lalu membawa Baginda ke dalam Ka'bah, lalu berdoa kepada Allah dan bersyukur kepadaNya. Dia memilih nama Muhammad bagi Baginda. Nama ini belum pernah dipakai sebelum itu di kalangan Arab. Baginda dikhitan pada hari ketujuh, seperti yang biasa dilakukan orang-orang Arab.


Abdul Muthalib termasyhur sebagai kepala kaum yang disegani dalam Bani Hasyim, demikian juga dalam kaum Quraisy seluruhnya, lantaran pengaruhnya yang besar di dalam urusan peperangan, kekuasaan, hal-ehwal agama dan peraturan masyarakat pada masa itu.


Wanita pertama yang menyusui Baginda setelah ibunya adalah Tsuwaibah, hamba sahaya Abu Lahab, yang kebetulan sedang menyusui anaknya yang bernama Masruh, yang sebelum itu wanita ini juga menyusui Hamzah bin Abdul Muthalib. Setelah itu dia menyusui Abu Salamah bin Abdul-Asad Al-Makhzumy


IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: