SaHaBaT

3/27/2009

Jangan Perlekehkan Benteng Terakhir Bangsa Melayu

Dua perkara menarik yang disinggung seorang pemimpin kanan UMNO dalam wawancara yang disiarkan secara langsung sebelum perhimpunan agung UMNO ialah teguran terhadap pejuang bahasa agar memikirkan tamadun bangsa dan kemalapan cendekiawan daripada menyertai pertubuhan ini. Kenyataan kedua, bahawa cendekiawan tidak minat menyertai UMNO dan lebih menarik minat kelompok usahawan, dibalas seorang sarjana bahawa elompok terbabit sudah melihat perkara kurang menyenangkan berlaku sekian lama dalam parti politik terbabit.

"Usahawan berminat menyertai UMNO kerana mereka mahu dapatkan kontrak. Mereka tidak pandai dan takut bersaing dalam pasaran terbuka. Saya jamin dana 60 Bilion bagi membantu mereka yang menganggur akibat kemelesetan ekonomi hanya akan dikaut kelompok ini seperti terjadi pada 1997 dulu" ujar seorang teman. Penulis juga sempat berbincang dengan seorang pejuang bangsa dan juga pakar bidang terbabit yang mengingatkan penulis betapa tamadun bangsa berkait rapat dengan bahasa seperti terpancar dalam peribahasa 'Bahasa jiwa bangsa' dan 'bahasa menunjukkan bangsa'.

"Bagaimana kita mahu mengaku kita orang melayu, jika kita tidak lagi menggunakan bahasa sendiri untuk naik atau mencapai kejayaan. Di mana maruah kita sebagai bangsa berdaulat dan pernah mempunyai pemerintah yang menguasai teknologi maritim mahupun perdagangan di asia tenggara?" Apakah orang politik melayu kini lupa akan asal usul bangsanya di nusantara yang pernah mejnalin hubungan dagang dengan cina, benua kecil india dan tanah arab pada zaman silam atau teralpa kerana kemelut politik begitu terhimpit sehingga sanggup memadamkan sejarah bangsa?

"Bagaimana kita mahu mengaku melayu jika enggan menggunakan bahasa kita untuk mengejar kemajuan? Apakah dalam mengejar pembangunan material, kita malu dan berasa hina dengan bahasa sendiri, meskipun hakikatnya ia pancaran peribadi bangsa kita yang kaya dengan budi?" demikian soalnya. Atau mungkin kelompok yang melihat kebangkitan pejuang bahasa silap menilai perjuangan mereka, lalu terlupa akan fungsi bahasa ialah merupakan bangsanya dan dalam konteks melayu, tafsirannya boleh dilihat secara sempit dan luas. Jika dilihat secara sempit, Melayu bererti mereka yang menggunakannya sebagai bangsa ibunda manakala dalam konteks luas pula, orang yang menggunakan bahasa melayu, tetapi bahasa ibundanya lain merangkumi India, Cina dan orang asli.

"Dalam takrifan luas itu, kedudukannya sama seperti kes kulit hitam Amerika termasuk Presiden Amerika, Barrack Obama. Dirujuk sebagai kulit hitam Amerika kerana menuturkan bahasa Amerika. Kelompok ini tidak lagi dirujuk sebagai orang Cameroon atau Kenya kerana sudah mengamalkan gaya hidup dan bahasa Amerika!". Pasti sesetengah pemimpin politik melayu melenting mendengar nada sinis pakar bahasa ini apabila mempertahankan kehebatan bangsa dan bahasanya dengan hujah, orang politik bila bercakap mengenai tamadun, hanya mementingkan material sehingga terlupa tradisi keagungan bangsanya!

"Jangan lupa bangsa yang ada tradisi agung mesti ada sistem politik tersendiri, hukum adat sendiri, kepercayaan sendiri dan tradisi persuratan tersendiri. Bangsa melayu sudah memiliki segala-galanya sejak zaman silam. Mengapa dengan segala bukti ini, kita masih memperlekeh bahasa sendiri," ujarnya. Pakar bahasa ini mengajak orang melayu melihat hakikat jika Malaysia tampil sebagai negara yang pertuturannya inggeris, tidak mungkin diiktiraf sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) kerana rasionalnya, Malaysia tidak termasuk dalam wilayah mereka.

Apakah benar dakwaan, pejuang bahasa tidak mengambil kira aspek ketamadunan bangsanya atau hakikatnya pihak satu lagi yang lebih mementingkan tamadun tampak dengan melihat pembangunan prasarana sebagai lambang kemajuan? Adakah kerana mesir masyhur dengan keagungan piramidnya, lalu Malaysia perlu dikenali dengan bangunan pencakar langit, sedangkan negara lain turut memilikinya dan teknologi mahupun dana pelaburan serta tenga kerjanya adalah orang luar?

"Bangsa Indonesia boleh mendabik dada meskipun pembangunannya secara demikian kerana meskipun perusahaan mereka milik dan diterajui orang luar, tetapi mereka diwajibkan bertutur dalam bahasa Indonesia. Bahkan perantaunya juga kekal dengan bahasa Indonesia tokoknya" ujarnya dalam nada sinis.

Jesteru, semua orang melayu perlu melihat hakikat bahasa sebagai benteng terakhir mereka dan sekiranya ia enggan dipertahankan dan rela digadaikan bermakna bangsa melayu lebih daif daripada penjajah silam yang mengutip khazanah bumi jajahan untuk dilarikan !

Petikan dari Akhbar Berita Harian
Ruangan Sastera, Khamis,
26 Mac 2009, m/s 20

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

Tiada ulasan: