SaHaBaT

6/24/2006

Embriologi Dalam Al-Quran

Embriologi ialah ilmu yang membincangkan tentang proses kejadian bayi dalam rahim di peringkat awal kandungan. Di peringkat itu bayi dikenali sebagai embrio. Embrio ialah nama yang digunakan bagi bayi yang berumur lebih kurang lapan minggu dalam rahim ibu. Untuk mengetahui proses perkembangan bayi, para saintis terpaksa menggunakan alat-alat yang canggih. Mengikut sejarah, gambaran yang pertama tentang kedudukan bayi dalam rahim pernah dibuat oleh Leonardo da Vinci pada abad kelima belas. Selepas mikroskop dicipta pada abad ketujuh belas oleh Leeuwenhoek, kajian yang lebih mendalam tentang proses kejadian bayi dapat dilakukan. Namun kefahaman yang betul dan terperinci tentang tahap-tahap kejadian ini hanya diketahui pada abad kedua puluh oleh Streeter pada tahun 1941 dan kemudiannya di lengkapkan oleh O’Rahilly pada tahun 1972.
Hal ini disebutkan dalam The Journal of the Islamic Medical Association, Vol.18, Jan-June 1986.Justeru, apabila Al-Quran menjelaskan secara terperinci tentang proses perkembangan embrio 1423 tahun dahulu, ketika tidak ada manusia yang mampu mengetahui tentangnya, ia membuktikan dengan jelas bahawa Al-Quran ialah wahyu Allah. Dalam surah Az-Zumar ayat 6, Allah berfirman, “Dia menjadikan kamu dalam rahim ibumu kejadian demi kejadian dalam kegelapan yang tiga..” Dalam kitab Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, “Kegelapan yang tiga ialah kegelapan abdomen, rahim dan yang berkaitan dengan uri.” Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn Kathir daripada Ibn Abbas, Mujahid dan Ikrimah. Pendapat ini amat menarik kerana kalimat-kalimat ‘kegelapan yang tiga’ tidak ditafsirkan dalam bentuk yang abstrak malah dikaitkan dengan fizikal manusia yang dapat difahami.Asas-Asas Ilmu EmbriologiTanpa alat-alat yang canggih, manusia tidak dapat mengetahui proses perkembangan bayi dalam rahim ibunya. Ayat-ayat Al-Quran menunjukkan, bayi melalui fasa-fasa pertumbuhan tertentu sebelum sampai ke tahap kejadian yang lengkap. Mengikut Al-Quran, proses kejadian bayi bermula dengan percantuman benih-benih.
Allah berfirman dalam surah Al-Insan ayat 2, “Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nuthfah yang bercampur..” ‘Nuthfah yang bercampur’ bermaksud ‘percantuman di antara benih lelaki atau sperma dan benih perempuan atau ovum’. Dalam keadaan ini ia dikenali sebagai zigot (zygote). Kedudukan embrio dalam ‘kegelapan yang tiga’ amat selari dengan penemuan sains moden. Profesor Keith L. Moore, Ph.D., F.I.A.C., seorang pakar dalam bidang anatomi manusia dari Universiti Toronto, Kanada, berpendapat seseorang bayi memang hidup dalam tiga tutupan atau kegelapan. Tutupan yang pertama ialah kulit abdomen atau the anterior abdominal wall, kedua ialah rahim atau the uterine wall dan ketiga ialah selaput yang menutupi bayi secara langsung atau the amniochorionic membrane.Al-Quran kemudian menjelaskan, daripada nuthfah embrio berubah menjadi alaqah, berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Mukminuun ayat 14, “Kemudian daripada nuthfah Kami jadikannya alaqah..” Dalam bahasa Arab, alaqah mempunyai tiga maksud seperti yang disebutkan dalam Elias Modern Dictionary, terbitan tahun 1992, iaitu,
• Segumpal darah.
• Suatu yang melekat.
• Lintah.
Pentafsiran ini amat selari dengan penemuan semasa kerana selepas berlaku percantuman benih atau nuthfah, ketika embrio berumur antara 7-14 hari, ia berkeadaan seperti darah beku dan rupanya menyamai seekor lintah yang tergantung di rahim ibunya atau endometrium.Daripada alaqah embrio bertukar menjadi mudghah berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Mukminuun ayat 14, “Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah..” Mudghah bermaksud ‘daging yang dikunyah’ dan begitulah rupa bentuk embrio ketika ia berumur lebih kurang empat minggu. Keadaan ini berpunca daripada sel-sel yang dikenali sebagai somites yang menyerupai tanda-tanda gigitan seperti ‘daging yang dikunyah’. Somites akhirnya bertukar menjadi tulang belakang atau vertebrae. Selepas mudghah embrio berubah kepada bentuk yang lain berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 5, “Kemudian jadilah kamu mudghah yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna kejadiannya..” (Surah Al Hajj ayat 5) Perincian ini amat mengagumkan kerana maklumat ini tidak mungkin dapat diketahui oleh orang biasa apatah lagi 1423 tahun dahulu. Pakar-pakar ilmu embriologi mengesahkan, sel-sel di peringkat mudghah terbahagi kepada dua, iaitu, yang belum terbentuk secara sempurna dan yang terbentuk secara sempurna.
Di dalam ilmu embriologi ia di istilahkan sebagai differentiated and undifferentiated tissues. Kemudian, embrio ditutupi tulang dan daging, berpandukan firman Allah dalam surah Al-Mukminuun ayat 14, “Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging..”Ilmu embriologi juga mengesahkan kejadian tulang atau cartilage bermula terlebih dahulu sebelum diselimuti dengan daging atau muscles / flesh yang wujud dari sel-sel awal yang dikenali sebagai somatic mesoderm. Kemudian berlakulah perubahan di dalam bentuk yang lain berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Mukminuun ayat 14, “Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik.” Ayat ini bermaksud, dengan kejadian tulang diselimuti daging, jadilah bayi itu dalam bentuk manusia, berbeza daripada rupanya yang asal seperti lintah dan daging yang dimamah. Perubahan ini berlaku ketika ia berumur lapan minggu dan ketika itu, bayi mempunyai sel-sel asas untuk pembentukan organ-organ. Di peringkat ini, embrio atau human embryo berubah menjadi janin atau human fetus. Selepas itu, roh ditiupkan dan pancaindera dikurniakan berdasarkan firman Allah dalam surah As-Sajdah ayat 9, “Kemudian Dia menyempurnakan kejadian dan meniupkan roh ke dalamnya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan af-idah dan sedikit sekali kamu bersyukur.” ‘Af-idah’ di dalam ayat ini, mengikut kitab Al-Asas fit Tafsir bermaksud akal.
Lantas, di peringkat ini deria khas atau special senses mula terbentuk dan ia bermula dengan kejadian telinga atau primordia of the internal ears diikuti dengan mata dan akhirnya otak. Profesor Keith L. Moore, Ph.D., F.I.A.C. dari Department of Anatomy, University of Toronto, Kanada mengesahkan kebenaran urutan-urutan ini seperti yang disebutkan di dalam Al Quran. Selepas itu, bayi melalui beberapa lagi proses pertumbuhan sehingga ia dilahirkan seperti yang difirmankan Allah dalam surah Al-Haj ayat 5, “Kemudian Kami tetapkan kamu di dalam rahim apa yang Kami kehendaki sehingga tiba masa yang ditentukan..”Ayat ini mengukuhkan pendapat bahawa kedudukan bayi yang biasa atau normal ialah di dalam rahim sehingga tiba saat kelahirannya. Kedudukan bayi di luar rahim atau ectopic pregnancy dianggap sesuatu yang luar biasa yang berisiko tinggi. Allah akhirnya menentukan sama ada bayi itu menjadi lelaki ataupun perempuan, mengikut kehendaknya.Kenyataan Saintis Yang Bukan IslamDr. Keith L. Moore ialah seorang profesor dalam bidang Anatomi di Universiti Toronto, kanada. Beliau pernah dianugerahkan dengan J.C.B. Grant Award pada tahun 1984, dan telah menulis lebih kurang 150 artikel dalam bidang anatomi dan embriologi. Dalam buku The Developing Human: Clinically Oriented Embryology, beliau menyatakan kekaguman beliau dengan ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang ilmu embriologi.
Dalam pendahuluan bukunya The Developing Human: Clinically Oriented Embryology (Third Edition) ini, beliau berkata, “Selama tiga tahun saya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Embriologi di Universiti Abdul Aziz Jeddah, untuk membantu mereka menginterpretasikan ayat-ayat Quran dan Hadis yang berkaitan dengan kejadian manusia dalam rahim. Saya amat kagum dengan ketepatan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan pada abad ketujuh Masihi ini dibandingkan dengan penemuan-penemuan semasa, sedangkan ketika itu bidang sains embriologi masih belum wujud… Selama ini saya tidak pernah tahu isi-isi yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah.”Ketika membentangkan kertas kerjanya di Kaherah berhubung dengan embriologi dan Al-Quran, beliau berkata: “Saya berasa amat gembira kerana berpeluang terlibat dengan usaha untuk menjelaskan maksud ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan pertumbuhan manusia.
Bagi saya, kenyataan-kenyataan ini menunjukkan ia datang daripada Tuhan disebabkan ilmu-ilmu ini tidak diketahui hingga beberapa abad selepas itu. Ini membuktikan, Muhammad adalah seorang Utusan Tuhan.”Profesor E. Marshall Johnson, Pengerusi Jabatan Anatomi Dan Biologi Pertumbuhan, merangkap Pengarah Institute Daniel Baugh, Universiti Thomas Jefferson di Philadelphia Amerika, juga mengagumi ayat-ayat Al-Quran ini. Di Persidangan Perubatan ketujuh di Saudi Arabia pada tahun 1982 beliau berkata, “Al-Quran tidak hanya menceritakan tentang perkembangan luaran embrio malah juga menjelaskan perkembangan dalamannya dan maklumat-maklumat ini adalah selari dengan sains kontemporari.
Adaptasi dari : http://www.formulacemerlang.com

IsLaM ThE WaY oF LiFe...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

You'll want to add a facebook button to your blog. I just bookmarked this article, although I had to complete it manually. Simply my $.02 :)

- Robson