SaHaBaT

5/28/2006

KEBAIKAN ARAK !!??

Allah berfirman, “Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkan lah ia semoga kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah ayat 90) Nabi Muhammad bersabda, “Sesungguhnya arak bukanlah ubat, sebaliknya ia adalah penyakit.” (Riwayat Tarmuzi-Hasan Sahih)

Arak ialah alkohol di dalam bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan sering kali menyebabkan ketagihan. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast cells yang bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat di dalam buah-buahan dan biji-bijian. Di dalam pasaran, ada tiga jenis arak yang popular, iaitu, bir yang dibuat dari biji-bijian dan mengandungi 3-6% alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11-14% alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor. Liquor dihasilkan dengan memeram ataupun mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40-50% alkohol.

Alkohol Dan Kesannya Ke Atas Otak Dan Badan

Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan 2-3 gelas alkohol di dalam masa sejam sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang tidak stabil. Ketagihan arak memberi kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Di sudut diri ia boleh menyebabkan sawan dan halusinasi dan pengambilannya di dalam jangka masa yang panjang boleh merosakkan otak untuk selama-lamanya. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan.

Penagih Arak Di Amerika Dan UK

Pada bulan November, 2001, sebuah institut yang berkaitan dengan masalah alkohol di Amerika yang dikenali sebagai National Institute on Alcohol Abuse And Alcoholism melaporkan, kerosakan dan kerugian berpunca daripada penggunaan alkohol berjumlah $185 bilion setahun. Di UK pula, BBC News bertarikh 17 Ogos, 2001 melaporkan, peratus wanita yang mengambil alkohol melebihi kadar yang diizinkan meningkat sebanyak 50% di dalam masa 10 tahun. Golongan remaja yang berumur di antara 11-15 tahun didapati meminum alkohol dua kali lebih banyak apabila dibandingkan dengan tahun 1990. Laporan itu juga menunjukkan, setiap seorang daripada empat orang lelaki dan setiap seorang daripada tujuh orang wanita di UK meminum alkohol melebihi kadar yang diizinkan. Kerugian yang terpaksa di tanggung rakyat kerana kerosakan dan masalah yang timbul daripada pengambilan arak ini berjumlah lebih kurang 3 bilion pound sterling setiap tahun. Majalah Time edisi 28 Januari, 2002, pula melaporkan, 1/5 daripada remaja yang berumur di antara 15-16 tahun di UK pernah mabuk sebanyak tiga kali dalam masa sebulan.

Arak Baik Untuk Jantung?

Ramai pakar-pakar perubatan berpendapat, arak apabila diminum dengan kadar yang sedikit, amat bermanfaat untuk jantung. Justeru, ramai pakar di dalam bidang kardiologi menggalakkan masyarakat meminum arak sebanyak 1-2 gelas sehari, agar kesihatan jantung mereka terpelihara. Namun Dr. James H. Stein, seorang pakar jantung, dan Penolong Profesor di Fakulti Perubatan Universiti Wisconsin, mempunyai pandangan yang berbeza. Di dalam tulisannya yang diterbitkan oleh Milwaukee Journal Sentinel bertarikh 25 November, 1998, beliau berkata, “Ramai pesakit dan pakar perubatan mahu mempercayai arak merupakan penawar ajaib yang dapat menyelamatkan jantung kita. Sayang sekali, hakikatnya tidaklah seperti yang difikirkan, kerana alkohol sebenarnya merosakkan jantung dengan cara melemahkan otot-ototnya, mengganggu cara jantung mengepam darah dan menaikkan tekanan darah. Tambahan daripada itu, alkohol merosakkan hati, menyebabkan radang pankreas, kanser esofagus dan perut. Justeru ramai yang keliru apabila mereka diberitahu pengambilan 1-2 gelas alkohol setiap hari menyihatkan jantung.

Walaupun kenyataan ini mempunyai kebenarannya, kerana pengambilan alkohol yang sedikit menambahkan kolesterol baik (HDL) di dalam darah, namun ia hanya benar bagi wain merah (red wine) dan bukannya bir ataupun spirit. Sebenarnya, bukanlah alkohol yang menyihatkan jantung, sebaliknya bahan flavonoid yang terdapat di dalamnya yang menguatkan jantung. Bahan flavonoid ini diperolehi daripada buah-buahan yang digunakan untuk menyediakan arak. Justeru, cara yang lebih selamat untuk menyihatkan jantung adalah dengan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti bawang, anggur dan epal yang kaya dengan flavonoid, dan bukannya meminum arak.”

Doktor Ira J. Goldberg, M.D. dari American Heart Association's Nutrition Committee yang juga merupakan seorang profesor perubatan di Universiti Columbia di New York pula berkata, “Nasihat saya ialah, jika anda benar-benar hendak menurunkan risiko diserang penyakit jantung, bercakaplah dengan doktor anda tentang cara hendak menurunkan paras kolesterol dan tekanan darah. Di samping itu anda perlu mengawal berat badan anda, bersenam selalu dan mengambil makanan yang berkhasiat. Tidak terdapat satu pun bukti yang saintifik yang menunjukkan bahawa meminum wain atau yang seumpamanya dapat menggantikan pendekatan konvensional yang telah disebutkan dalam usaha untuk mencegah dari menghidap penyakit jantung.” Hal ini disebutkan dalam American Heart Association Journal Report bertarikh Januari 22, 2000.

Kesan Alkohol Lebih Teruk Daripada Lain-Lain Dadah?

Mengikut satu kajian yang dilakukan di Peranchis oleh sepuluh orang pakar sains, diketuai oleh Bernard-Pierre Roques dari RenÉ Descartes University of Paris, arak tergolong dalam kategori dadah yang amat berbahaya sama seperti heroin dan candu. Hal ini dilaporkan oleh Debora MacKenzie dalam New Scientist bertarikh 27 Jun 1998.

BBC News bertarikh 24 Mei 2001 pula melaporkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Men’s Health Forum di UK, Dr. Ian Bank, yang mengatakan, statistik yang mengaitkan alkohol dengan perbuatan membunuh diri, jenayah, kemalangan, tindakan ganas serta masalah kesihatan amat menggerunkan. Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Pengerusi Pertubuhan Kaunselor-Kaunselor Penyalahgunaan Alkohol dan Dadah Kebangsaan di UK, Rosa Della-Tolla, yang menegaskan ramai yang memfokuskan tentang bahaya dadah dan melupakan alkohol, sedangkan kesan negatif hasil daripada penyalahgunaan alkohol adalah lebih besar daripada dadah yang lain.

Masalahnya ialah, pengambilan alkohol diterima sebagai suatu yang biasa di dalam masyarakat sedangkan kesan pengambilannya sebenarnya adalah lebih teruk. Justeru, Islam mengharamkan arak sama sekali dan tidak menganggapnya sebagai penawar walaupun terdapat sedikit kebaikan padanya, namun kemudaratannya adalah lebih besar daripada kebaikan. Allah berfirman, “Dan mereka bertanya kamu tentang arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya ada banyak keburukan dan beberapa kemanfaatan, namun keburukannya adalah lebih besar daripada kebaikannya.” (Surah Al-Baqarah ayat 219)

Sumber : http://www.formulacemerlang.com/modules/wfsection/article.php?articleid=1

Tiada ulasan: